Friday, August 21, 2009

Ibadah Ramadan perlu ceria

KEHADIRAN Ramadan yang kita lalui sekarang hendaklah disambut dan dipenuhi dengan amal soleh. Jangan biarkan Ramadan ini berlalu begitu saja tanpa dipenuhi dengan kegiatan atau amalan berfaedah yang mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Kita perlu memanfaatkan kedatangan Ramadan sebaiknya dengan doa dan harapan amalan puasa dan ibadat lain diterima Allah. Suasana orang yang menyambut Ramadan berbeza. Ada yang gembira dan tidak sabar mengalu-alukan ketibaan Ramadan. Ada juga tidak ceria dengan kedatangannya kerana tidak terasa keseronokan dan kenikmatan berpuasa. Malah golongan ini terasa terseksa hidup dalam sebulan ini. Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Semoga kita mendapat ketiga-tiga kelebihan itu. Kita perlu mencipta suasana ceria dan menyeronokkan pada Ramadan agar jiwa tenang dan puas dengan amalan yang hanya sebulan ini.

0 comments: